Wednesday, 18 December 2013

DEWAN KULIAH MKI: LIHAT DI SEBELAH SANA

DEWAN KULIAH MKI(kredit)

Tema: Ringkas tapi Signifikan
  • LIHAT DI SEBELAH SANA

    14 Safar 1435
    Membentuk anak-anak menjadi pelajar cemerlang merupakan gabungan banyak faktor – misalnya – keluarga, persekitaran, sekolah, guru serta kewangan. Ia bersifat kesalingan. Namun tunjangnya adalah kedua orang ibu bapa. Baginda SAW bersabda,

    Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

    Mendidik anak-anak menjadi pelajar cemerlang melangkaui keputusan peperiksaan, penempatan universiti, program yang diikuti dan kerjaya – sebenarnya – sangat menarik untuk ditekuni dan diamati.

    Pelajar cemerlang secara tradisi (nota: lulus keputusan peperiksaan dengan jumlah A yang banyak) – kebiasaannya – mempunyai tahap disiplin sangat tinggi. Mereka mempunyai idola untuk diikuti terutamanya abang atau kakak yang telah berjaya.

    Barangkali keluarga hampir – bapa dan ibu saudara serta sepupu – juga memainkan peranan membentuk budaya keluarga cemerlang akademik. Idola ini berjaya akademik dan seterusnya membentuk kumpulan berjaya kerjaya yang berakhir dengan jawatan tinggi dan berprestij.
     
    Kita rasa teruja, ghairah dan kagum dengan mereka yang hebat akademik dan kerjaya. Pertemuan dengan kaum keluarga atau sahabat handai hampir akan terselit pertanyaan di mana anak-anak yang kelihatan rapat ketika usia kecil mereka.

    Wajah ibu bapa kelihatan bangga menceritakan betapa anak-anak berada di universiti Luar Negara atau mengikuti program hebat dan berprestij. Jika anak baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan maka jenis dan status kerjayalah yang akan diceritakan dengan rasa gembira.   

    Malah – kami fikir – tidaklah terlalu sukar untuk memberi contoh kejayaan akademik dan hasilnya kepada anak-anak sendiri bagi memberi rangsangan agar mereka juga mahu bersungguh-sungguh belajar dan berjaya mengumpul A yang banyak. Lalu peratus cemerlang akademik semakin bertambah saban tahun berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Ibu bapa dan anak-anak mempunyai kesedaran dalaman kuat betapa kejayaan akademik menjadi tiket wajib untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Ibu bapa bermotivasi. Anak-anak juga begitu. Mereka hanya perlu digerakkan sedikit. Tidak perlu bersakit-sakit.

    Fikiran mereka – ibu bapa dan anak-anak – seolah-olah tiada kehidupan selepas kematian. Jika sesekali terlintas di minda, ketakutan atas kegagalan akademik menutup hati dan perasaan.

    Mungkin juga, ia tidak pernah difikirkan. Kekayaan dan kesenangan dunia nyata menutup pintu hati. Inilah keluarga biasa-biasa yang memisahkan dunia dan akhirat sebagaimana dicerita Allah SWT melalui surah Hud, ayat 15 yang bermaksud.

    Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

    Malah mereka lupa dengan pilihan dua universiti utama bernama Universiti Firdaus dan Universiti Jahanam. Hakikatnya kita tidak membuat pilihan tetapi membiarkan prioriti dunia mengaburi aspek yang lebih besar. Bayangkan bagaimana Allah menceritakan keadaan ini melalui  surah al-Israa', ayat 18 bermaksud,

    Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.

    Mereka berusaha dengan gigih, mematuhi jadual persekolahan, tusyen dan mempunyai jadual lepas sekolah yang teratur dan sistematik. Mereka ditunjuk dengan laluan kejayaan cemerlang untuk mereka bersaing dengan yang lain. Ia dibantu oleh ibu bapa yang mahu melihat anak-anak berjaya dengan cemerlang.

    Dunia akademik itu sendiri sangat memenatkan. Anak-anak perlu menghadapi pelbagai peperiksaan besar yang memerlukan mereka bekerja keras sepanjang tahun. Cabarannya begitu. Mod kehidupannya telah diset dengan kadar kelajuan yang memerlukan tumpuan sebelah kawasan, dunia dan tidak bersekali dengan kawasan kekal abadi, akhirat.

    MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Sistem pendidikan kita – kami fikir – sungguh terbuka dalam konteks membuat pilihan. Anak-anak – juga – diberi peluang untuk mempelajari hal-hal asas sebagai seorang Islam sejak mereka berada di dalam sistem pendidikan pra-sekolah. Ada sistem berorientasikan sistem Barat yang menumpukan kepada lanjutan persekolahan sebenar dan ada juga yang berteraskan sistem pendidikan Islam.    

    Jangan tinggalkan dunia. Kita mahu sekolah terbaik, kelulusan akademik cemerlang dan kerjaya yang mampu membawa anak-anak kepada kehidupan selesa di dunia dan akhirat.

    Biar kedua-duanya tidak dipisahkan. Sungguh … biar akhirat mendahului dunia tetapi kecemerlangan dunia tetap terjaga. Akhirnya, kecemerlangan dunia membawa seisi keluarga ke syurga Firdaus di negeri akhirat.

    Usaha-usaha untuk merapatkan jurang dunia dan akhirat yang semakin terpisah ini perlu dimulakan oleh kedua ibu bapa. Lakukan dalam skala kecil tetapi secara berterusan semenjak anak-anak boleh berfikir dan masih mendengar kata.

    Kembalilah kepada prinsip asas membina taman-taman syurga di rumah sendiri dengan mengadakan majlis ilmu bagi mendidik anak-anak supaya memahami kepentingan kehidupan selepas kematian. Ia perlu dimainkan oleh ibu bapa di rumah. Kami mohon keampunan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment